100 pemuda PPBM keluar parti

100 pemuda PPBM keluar parti

KLANG – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menerima tamparan hebat apabila lebih 100 ahli sayap pemudanya di bahagian Klang mengumumkan keluar parti secara beramai-ramai dan menyertai UMNO berkuat kuasa semalam.

Menurut wakilnya, Hazwan Zulkifli, tindakan itu diambil berikutan kecewa dengan kepe­mimpinan parti khususnya pe­ringkat bahagian berkenaan yang didakwa menganaktirikan peranan mereka selain kesal dengan pemilihan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

“Isu lokaliti menjadi faktor utama pihak kami keluar PPBM. Anak tempatan ditendang keluar dari barisan kepemimpinan bahagian sebaliknya orang luar pula dilantik untuk memimpin kami, seolah-olah kami ini tidak ada kebolehan langsung.

“Begitu juga dengan pemilihan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri untuk Pakatan Harapan. Selama 22 tahun Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri, PKR dan DAP selalu menghina dan mencaci termasuk menganggap beliau perosak demokrasi dan menindas rakyat.

“Tetapi hari ini, mereka (DAP, PKR dan PAN) sanggup bersekongkol dan menamakan Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri. Pendirian parti-parti dalam Pakatan Harapan ini benar-­benar mengkhianati serta memanipulasi pemikiran rak­yat,” katanya kepada pemberita di Pejabat UMNO Bahagian Klang di sini baru-baru ini.

Pada masa sama, kumpulan tersebut turut menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Ke­tua UMNO Bahagian Klang, Datuk Nasaruddin M. Zin dan memotong kad keahlian PPBM secara beramai-ramai sebagai simbolik penentangan mereka terhadap parti yang ditinggalkan.

Dalam pada itu, Hazwan menyifatkan PPBM ketika ini dipenuhi dengan pemimpin yang mempunyai ego yang melampau sehingga tidak boleh ditegur serta menerima pandangan daripada ahli-ahli akar umbi.