Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan dalam satu kenyataan berkata, dalam operasi itu sebanyak 46 premis peniagaan buah-buahan di sekitar Mantin, Senawang, Jalan Pantai-Jelebu dan Kuala Klawang telah diperiksa.

Katanya, kesemua kompaun dikeluarkan mengikut Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat 1972, kerana kesalahan mengguna atau memiliki alat timbang sukat yang tidak ditentusahkan, ditandakan dengan cap, diperakui atau disahkan.

“Op Duri akan diteruskan sehingga berakhirnya musim durian di negeri ini. Ia juga bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan peniaga yang ingin mengambil kesempatan dalam urus niaga melibatkan timbangan,” katanya di sini hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penipuan alat timbang boleh menyalurkan aduan di talian 03-80008000 (1Malaysia One Call Centre) atau talian bebas tol Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik 03-88826088/6245.

Aduan juga boleh dibuat melalui aplikasi telefon pintar Ez ADU, emel melalui eaduan@kpdnkk.gov.my atau hadir di mana-mana pejabat KPDNKK di seluruh negara. – UTUSAN