Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD) Diminta Bersama Kerajaan Bangunkan Modal Insan – MB

Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD) Diminta Bersama Kerajaan Bangunkan Modal Insan – MB

NILAI, 05 OGOS – Kewujudan Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD) diminta bersama-sama dengan hasrat Kerajaan Negeri Sembilan untuk memajukan pembangunan modal insan dan memberi makna yang baik kepada negeri.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan berkata demikian dalam ucapan perasmian Hari Terbuka Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD) TRUNS 1 yang berlangsung di ILD, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bandar Enstek, Nilai, hari ini.

ILD yang dirasmikan penubuhannya pada 23 Ogos 2016 adalah sebuah institut yang bertanggungjawab menyediakan latihan, program pembangunan staf dan pemantapan calon untuk menjawat jawatan utama di dalam UiTM.

Selain itu, ia juga berperanan merancang, membangunkan dan menawarkan kursus berstruktur serta menilai keberkesanan latihan impak kepada diri peserta dan organisasi.

Menurut Menteri Besar, dunia berubah setiap minit dan masa dan disebabkan itulah institut itu ditubuhkan untuk melatih semula tenaga pengajar bagi menguasai ilmu-ilmu semasa untuk dicurahkan kepada anak-anak didiknya.

Katanya lagi, ILD membantu mereka menjadi pemimpin yang baik dan membangunkan sumber-sumber manusia dan ilmu supaya mereka menjadi lebih cemerlang. ILD juga berperanan menyediakan pegawai-pegawai muda, pegawai peringkat menengah untuk bersedia mengambil alih dan menggalas kepercayaan yang bakal diserahkan kepada mereka.

Pada ketika ini, anak-anak Malaysia yang merdeka perlu bersaing di peringkat global dan institut inilah yang bertanggungjawab melatih dan membangunkan pendidikan dalam keadaan dunia yang semakin mencabar.

Turut hadir, Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Dato’ Dr Hassan Said; Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Seri Haji Mat Ali Hassan; Exco Kerajaan Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Dato’ Haji Hasim Rusdi dan Penolong Naib Canselor ILD, Prof Dr Azni Zain Ahmad.