Pusat Zakat Negeri Sembilan Terima Anugerah Zakat Kebangsaan 2017

Pusat Zakat Negeri Sembilan Terima Anugerah Zakat Kebangsaan 2017

KUALA LUMPUR, 23 NOV – Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS) telah memenangi Anugerah Zakat Kebangsaan 2017 menerusi kategori Anugerah Inovasi Zakat Terbaik : Kutipan dalam Majlis Perasmian Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan (BZK) Dan Seminar Pembangunan Asnaf Serantau (SPAS) 2017, hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki telah merasmikan program ini yang diadakan bertempat di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur.

Program yang berlangsung selama dua hari ini merupakan anjuran bersama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Lembaga Tabung Haji (TH), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama semua majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ) seluruh Malaysia.

Mengangkat tema ‘Bersama Membangun Asnaf Serumpun’, program ini memfokuskan kepada usaha bersama semua pihak termasuk negara-negara yang terlibat iaitu Brunei, Republik Indonesia dan Singapura dalam memperkasa tadbir urus kutipan dan agihan zakat, terutamanya untuk membantu golongan asnaf zakat keluar dari kepompong kemiskinan serta melahirkan ikon-ikon usahawan asnaf yang berjaya hasil bantuan daripada dana zakat.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Tuan Haji Ahmad Musadad Haji Sulaiman dan Pengurus Besar Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS), Ustaz Nor Azmi Musa.