Ia dilaksanakan melalui Tabung Penyelenggaraan 1 Malaysia (TP1M) iaitu inisiatif Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ke­sejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membantu pengurusan kediaman berstrata kos sederhana dan rendah swasta.

Projek itu dilaksanakan di Rumah Pangsa Taman Casurina me­libatkan penggantian bumbung, pemasangan lampu jalan, mengecat bangunan dan membaiki tangga serta susur tangan (handrail) manakala Rumah Pangsa Taman Cengal membabitkan kerja membaiki bumbung, membaiki tangga dan susur tangan.

Sementara itu, kerja mengganti bumbung akan dilaksanakan di Rumah Pangsa Seroja/Kasturi.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerja baik pulih dan penyelenggaraan yang dilaksanakan melalui TP1M itu adalah satu lagi bukti ke­perihatinan kerajaan yang mahu rakyat di setiap lapisan peringkat masyarakat menikmati kehidupan lebih baik.

Ini kerana, katanya, kerja-kerja itu sebenarnya bukan menjadi tugas kerajaan sebaliknya ia adalah tanggungjawab badan pengurusan bersama (JMB) atau perbadanan pengurusan (MC) kediaman strata yang berkenaan.

“Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyedari masalah yang dihadapi oleh JMB dan menubuhkan tabung ini dalam usaha kerajaan membantu badan tersebut.

“Ini adalah hasrat murni dari hati nurani Perdana Menteri sendiri yang sentiasa memikirkan rakyat di setiap peringkat dan merangka rancangan bagi membantu mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Surat Kelulusan dan Penyerahan Kerja TP1M di Rumah Pangsa Seroja/Kasturi di sini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mat Ali Hassan; Setiausaha Bahagian, Bahagian Perkhidmatan Perbandaran, Sektor Kesejahteraan Bandar KPKT, Datuk Muhamad Musa dan Yang Dipertua MPS, Datuk Abd. Halim Abd. Latif.

Malah, Mohamad menarik perhatian, mulai tahun ini TP1M menanggung sepenuhnya kos projek berbanding pelaksanaan asalnya berdasarkan konsep geran sepa­dan iaitu kerajaan menanggung 90 peratus manakala baki 10 peratus oleh JMB.

“Jadi, jangan dengar hasutan pihak tertentu yang cuba mengata bahawa kerajaan hanya mengutip cukai tetapi tidak memberinya semula kepada rakyat.

“Dalam hal TP1M, sudah jelas bahawa kerajaan masih juga mahu memberi bantuan kepada rakyat walaupun tanggungjawab itu sepatutnya dipikul oleh JMB,” ujarnya.- Utusan