Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihak­nya tidak akan bertolak ansur terhadap ancaman itu dan akan bertindak tegas terhadap mereka bagi memastikan keselamatan terpelihara sepanjang tempoh PRU-14.

Beliau turut memberi jaminan pihaknya akan sentiasa memantau segala perkembangan terma­suk 171 kawasan panas di seluruh negara termasuk 31 lokasi di ne­geri ini.

‘‘Kita bukan nak timbulkan ketakutan atau ugut sesiapa tapi mereka yang berpotensi menimbulkan masalah semasa PRU-14, kita akan pantau dan kita akan bergerak berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

‘‘Saya atau pegawai dan anggota saya tak boleh buat perkara ini sewenang-wenangnya, kita akan ambil tindakan tegas setelah keadaan benar-benar terdesak,’’ katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi dan Penyampaian Sumbangan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) sempena Peringatan Hari Polis ke-211 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman. Turut hadir, Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail serta timbalannya, Datuk Idris Abdullah.

Menyentuh situasi di Terengganu, Mohamad Fuzi berkata, setakat ini, pihaknya mendapati negeri ini dalam keadaan stabil dan terkawal berbanding negeri lain dan sebanyak 75 peratus daripada seramai 3,500 pegawai serta anggota polis di negeri ini akan ditugaskan sepanjang PRU-14.

‘‘Terdapat seramai 2,625 anggota terlibat PRU-14 di Terengganu, jika tidak mencukupi kita akan beri bantuan sama ada daripada persekutuan atau yang bertugas harian,’’ jelasnya.

Tambah Mohamad Fuzi, pada masa ini, seramai 70,000 anggota polis akan ditugaskan pada PRU-14 dan sekiranya tidak memadai, seramai 2,500 anggota lagi boleh dikerah bagi menghulurkan bantuan. – UTUSAN ONLINE