Terletak berhampiran Plaza Tol Ipoh Utara, taman tema animasi pertama di Asia ini bakal mengetengahkan lebih 40 tarikan melibatkan karektor animasi tempatan dan antarabangsa di enam zon berbeza.

Di Animation Square misalnya, pengunjung berpeluang menyaksikan karektor animasi tempatan, BoBoiBoy serta pengembaraan empat dimensi (4D) kartun berkenaan di Home of BoBoiBoy.

Sambil menantikan kemunculan karektor animasi itu pada sesi Meet and Greet, anda boleh mencuba coklat panas di Tok Aba Kokotiam, selain bergembira di The Adventurous Cartoon Factory.

Di Dream Zone pula, pengunjung buat julung kalinya bakal dipertontonkan dengan tarikan karektor animasi DreamWork pertama di dunia bagi watak Megamind, The Croods, Casper the Friendly Ghost dan Mr. Peabody & Sherman.

Mereka yang tidak gentar dengan aktiviti mencabar pula boleh mencuba menaiki Megamind Megadrop, iaitu sebuah drop tower tertinggi di negara ini, setinggi 52 meter.

Selain itu, percutian anda ke MAPS bersama keluarga juga rasanya tidak lengkap sekiranya tidak menaiki roller-coaster The Croods Crazy Chase serta membeli-belah cenderamata di Croodaceous Collectibles.

Di Blast Off Zone, anda boleh menyaksikan tarikan watak animasi The Smurfs pertama di Asia dengan persembahan interaktif secara langsung beserta kesan khas visual yang mengagumkan di The Smurf Theatre.

Peminat The Smurfs juga boleh bersantai bersama keluarga di The Smurfs Playland, selain menikmati makanan di Restoran Starship serta menyaksikan tarikan terbaharu, WormHole Technologies dan MAPS iTV Broadcast Stage.

MAPS turut mempertaruhkan pertunjukan aksi lagak ngeri di Live Action Zone yang menampilkan persembahan lasak membabitkan kereta dan motosikal yang diadun bersama kesan khas.

Persembahan tersebut yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara diadakan di Stunt Legends Arena yang boleh memuatkan sehingga 2,000 orang dalam satu-satu masa.

Di Fantasy Forest Zone pula, kawasan berkenaan lebih mesra kepada kanak-kanak berusia antara tiga hingga 12 tahun yang membolehkan mereka menjelajah Cave of Wonders dan Forest’s HQ Treehouse.

Antara tarikan lain termasuklah Coliseum Water Playground, Fantasy Carousel, Whirling Wizard dan Red Baron.

Selain itu, di Lakeside Zone, pengunjung berpeluang bermain dengan beberapa permainan seperti Asteroid Attack, Space X-Plorers dan Hyperspin.

Apapun, MAPS turut menawarkan kepada pengunjung untuk meraikan beberapa majlis istimewa seperti sambutan hari jadi, perkahwinan, hari keluarga, makan malam bertema serta kursus team building di premis mereka.

Ahli Lembaga Pengarah MAPS, Ramelle Ramli berkata, lebih 5,000 orang mengunjungi prapembukaan taman tema tersebut pada Hari Raya Aidilfitri kedua baru-baru ini.

Menurut beliau, sambutan itu amat menggalakkan biarpun terdapat beberapa kawasan tarikan yang masih belum dibuka kerana berada dalam proses ujian teknikal.

“Di MAPS, proses penyelenggaraan dilakukan pada setiap hari sebelum dibuka kepada umum. MAPS juga menepati piawaian keselamatan antarabangsa oleh International Association of Amusement Parks and Attractions (IAAPA),” katanya.- Utusan