Adik Bekas Menteri Direman Lima Hari

Adik Bekas Menteri Direman Lima Hari

KOTA KINABALU, 11 OKT. – Adik seorang bekas menteri persekutuan direman lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana RM180 juta berkaitan projek luar bandar di negeri ini.

Majistret Stephanie Sherron Abbie mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan lelaki berkenaan sehingga 15 Okt bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009.

Individu itu yang ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah semalam, adalah antara tujuh individu yang ditahan setakat ini bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana projek luar bandar berjumlah RM180 juta,  iaitu sebahagian daripada  RM1.5 bilion dana yang dianggarkan diselewengkan daripada sebuah kementerian.

Dana RM1.5 bilion itu adalah sebahagian daripada peruntukan kerajaan pusat melalui sebuah kementerian berjumlah RM7.5 bilion untuk melaksanakan projek luar bandar di Sabah sepanjang 2009 hingga 2015. – Bernama