Menurut Fadzil, dia tidak mahu mengulas lanjut tentang hal itu dan menyerahkan kes sepenuhnya kepada pihak polis.

“Apa yang saya tahu, dia bukan begitu. Saya memang terkejut apabila dia ditahan oleh pihak polis dan didakwa menampar anggota polis dan menimbulkan kekacauan dalam kalangan orang awam di dalam balai polis tersebut.

“Ibu dan bapa di kampung (Alor Setar) dan mereka sudah tahu tentang hal ini. Semoga mereka dikuatkan hati untuk berdepan dengan berita mengejutkan ini,” ujar Fadzil yang juga merupakan seorang pelakon kepada Kosmo! sebentar tadi.

Terdahulu, menurut sumber, dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 petang itu, bintang filem Lagenda Budak Setan berusia 36 tahun itu dikatakan melakukan perbuatan tersebut di kaunter aduan Balai Polis Cawangan Trafik, Kota Damansara.

Susulan itu, seorang anggota polis telah membuat laporan polis yang menyebabkan pelakon itu kini ditahan untuk siasatan lanjut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut. – K! ONLINE