Agihan Kerusi DUN PH di N.Sembilan Belum Muktamad

Agihan Kerusi DUN PH di N.Sembilan Belum Muktamad

SEREMBAN, 10 JAN – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata agihan kerusi yang akan tandingi pakatan itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) masih belum dimuktamadkan memandangkan terdapat beberapa kerusi yang belum mencapai kata putus.

Beliau berkata, bagaimanapun, perbincangan mengenainya kini di peringkat akhir dan dijangka akan diserahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi PH untuk diluluskan, hujung bulan ini.

“Kalau selesai awal,kita akan umumkan pada Konvensyen Pakatan Harapan kali kedua di sini pada 28 Jan ini. Bagaimanapun, soal calon belum dibincangkan,? katanya pada sidang media di sini hari ini.

Konvensyen PH di Hotel City Kingdom di sini dijangka dihadiri Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ditanya sama ada pakatan itu turut membincangkan soal calon menteri besar sekiranya menang pada PRU14, Aminuddin, yang juga Pengerusi PKR negeri dan juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, berkata perkara itu tidak dibincangkan. – BERNAMA