Namun, berkunjung ke negeri yang terletak di utara Semenanjung itu bukan sekadar menyaksikan pemandangan indah kawasan bendang, malah lebih daripada itu.

Selain melalui percutian yang mendamaikan hati, pengunjung turut berpeluang merasai pengalaman tinggal di kawasan kampung, di samping berkomunikasi dengan penduduk setempat.

Lebih menyeronokkan apabila diberi peluang melakukan aktiviti berkaitan pertanian yang menjadi nadi pendapatan masyarakat desa.

Penulis sempat merasai pengalaman itu ketika menyertai program Road To Agro Tourism Siri 4 – Zon Utara baru-baru ini.

Program anjuran Majlis Pelancongan Malaysia itu turut mendapat kerjasama Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) serta Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada).

Berikut destinasi pelancongan menarik untuk dikunjungi di Kedah.

LADANG NIPAH ISMAIL 
CHE KAR

Anda mungkin pernah merasai keenakan dan khasiat air nira.

Namun, menikmati air nira dan makanan tempatan seperti laksa dan bihun kuah laksa dalam suasana dikelilingi pokok nipah di ladang kepunyaan Ismail Che Kar merupakan satu keunikan dan tarikan kepada pengunjung.

Kami sempat melihat proses air nira diperolehi dari pokok nipah yang ditunjukkan oleh Ismail dan isterinya, Rohana Ali.

KOLEJ LATIHAN MADA

Tidak berkesempatan menyaksikan pelajar menjalani kursus mengendalikan jentera berat, namun menariknya di sini, rombongan media diberi peluang untuk merasai pengalaman menanam padi dan menangkap ikan di sawah.

Dapatlah kami memahami aktiviti masyarakat yang menjalankan kerja sawah sebagai sumber untuk menyara kehidupan mereka.

Pihak Mada turut membuka peluang kepada kumpulan pelancong yang ingin melakukan aktiviti itu, sekali gus merasai pengalaman bersawah. Usah risau tentang penginapan kerana kemudahan itu ada disediakan.

LADANG MANGGA TOBIAR

Jika Perlis mempunyai mempelam harum manis, Kedah pula ada mempelam dari varieti Chok Anan. Projek ladang mempelam yang berkeluasan 40 hektar di Tobiar, Pendang itu diusahakan oleh Mada sejak tahun 2002.

Amalah pertanian baik yang diamalkan Mada menjadikan kualiti buah terjamin. Rasanya yang manis dan berbau harum menandingi keenakan mempelam harum manis.

Selain buah dijual segar, sebahagian pengeluaran buah turut dijadikan puri mempelam yang diproses menjadi produk berasaskan mempelam seperti jus minuman, jem dan serbuk dadih sebelum dijual di pasaran menggunakan jenama Tobiar Gold.

Apabila tiba musimnya, pengunjung boleh datang terus ke ladang untuk menikmati kelazatan buah mempelam segar dan hidangan istimewa pulut mempelam berserta minuman jus mempelam segar, selain melakukan aktiviti lawatan ladang. Kemudahan trem ada disediakan.

Di ladang itu juga, terdapat menara tinjau yang dibuka kepada pengunjung yang ingin menikmati pemandangan keseluruhan kawasan ladang.

SYARIKAT MNH HARVESTER

Kami turut dibawa mengunjungi syarikat yang menyediakan dan mengendalikan pelbagai jentera berkaitan aktiviti sawah padi yang terletak di Pida 3 1/2, Jitra Kedah.

Dalam lawatan itu, kami diperlihatkan bagaimana proses penuaian padi dan pengumpulan jerami dijalankan. Penulis turut diberi peluang menaiki jentera penuai bagi melihat lebih dekat bagaimana petani mengendalikannya ketika penuaian padi dilakukan.

MUZIUM PADI

Terpegun seketika menyaksikan lukisan mural yang sungguh indah dan berseni di tingkat tiga Muzium Padi. Rupa-rupanya lukisan mural yang memaparkan musim penanaman padi itu dihasilkan oleh 60 orang pelukis yang diterbangkan dari Korea Utara sekitar 1990-an.

Menurut Penolong Kurator Kanan merangkap Ketua Unit Muzium Padi, Zulkhiberi Mat, sebelum kerja-kerja melukis dilakukan, kesemua pelukis itu membuat penyelidikan selama setahun bagi memahami bagaimana proses penanaman padi dijalankan.

Selain itu, mu­zium padi pertama di Malaysia dan keempat di dunia itu turut mempamerkan perkembangan peralatan yang digunakan dalam penanaman padi di Malaysia, bermula dengan penggunaan peralatan tradisional sehinggalah pelbagai ciptaan serba moden.

INDUSTRI ASAS TANI
 (IAT) BIZ

Berperanan sebagai pusat sehenti yang mengumpul, mempromosi dan memasarkan produk usahawan tempatan, IAT BIZ. Ia adalah lokasi sesuai untuk pengunjung membeli ‘buah tangan’ untuk dibawa pulang.

Di pusat itu, terdapat 150 produk pelbagai jenis yang terdiri daripada bahan masakan, makanan segera, makanan ringan, minuman, hasil kraf, produk kesihatan dan kecantikan. IAT BIZ turut menerima tempahan cenderahati untuk pelbagai majlis.

PUSAT KRAF TANGAN MADA

Bagi pengunjung yang meminati hasil kraf tangan, bolehlah datang membeli-belah di Pusat Kraf Tangan Mada yang terletak di Pendang. Antara produk kraf tangan yang dijual termasuklah mengkuang, rotan, kayu, buluh, teksil dan kertas jerami padi. Produk industri asas tani seperti perencah masakan, beraneka biskut, kerepek, kuih tradisional, produk berasaskan nipah dan mempelam Chok Anan turut dijual.