Ahli Koperasi Warisan Kampung Pasir Linsum Terima Sumbangan Hari Raya 

Ahli Koperasi Warisan Kampung Pasir Linsum Terima Sumbangan Hari Raya 

RANTAU, 15 JUN – Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan telah menyempurnakan penyerahan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada ahli Koperasi Kampung Pasir Linsum di Balairaya Kampung Pasir Linsum, hari ini.

Seramai 77 ahli koperasi menerima sumbangan tersebut yang mana masing-masing memperoleh RM2,000 seorang.

Menteri Besar dalam ucapannya berkata, Kampung Pasir Linsum adalah sebuah kampung contoh yang menjalankan aktiviti penjanaan ekonomi dan setiap tahun mampu memberikan dividen kepada ahli koperasi yang terdiri daripada masyarakat kampung.

“Saya yakin dan percaya kita boleh menjayakan agenda ini dan apa yang hendak dilaksanakan kita boleh terjemahkan dengan memberikan penambahan pendapatan kepada penduduk kampung menerusi kegiatan ekonomi.

“Orang kampung tidak minta banyak mana tapi mereka hendak merasai hasil kampung bersama-sama,” katanya.

Menurutnya lagi, kebanyakan kampung mempunyai sumber asli sendiri namun mereka tidak tahu bagaimana untuk menambah nilai dalam memanfaatkan sumber yang ada bagi menjana penambahan pendapatan.

“Kepimpinan kampung itu perlu. Kadang-kadang di kampung banyak sumber asli tapi mereka tidak tahu untuk menambah nilai.

“Justeru itu, saya memang menggalakkan aktiviti ini melalui koperasi-koperasi, pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk melaksanakannya,” ujarnya mengakhiri.