Ahli Persatuan Gabungan NSWO Disaran Terus Main Peranan Perkasa DJKS

Ahli Persatuan Gabungan NSWO Disaran Terus Main Peranan Perkasa DJKS

SEREMBAN, 23 JAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan menyarankan agar ahli persatuan gabungan Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan (NSWO) terus memainkan peranan dalam memperkasakan Dasar Jaringan Keselamatan Sosial (DJKS).

Beliau berkata demikian pada Majlis Sepetang Bersama Pemimpin anjuran NSWO bersama Persatuan Kebajikan Isteri-Isteri dan Pegawai-Pegawai Kanan Negeri Sembilan (PEKERTI NS) di Dewan Tuanku Aishah Rohani, Bangunan NSWO, Seremban.

Ketibaan Menteri Besar diiringi Yang Dipertua PEKERTI NS, YM Raja Datin Seri Dato’ Hajah Salbiah Tengku Nujumudin.

Mengulas lanjut katanya, beliau meletakkan sasaran bagi tahun 2018 ini untuk tidak mahu lagi mendengar atau terlepas pandang rakyat yang hidup susah dan menderita.

“Hari ini saya secara rasmi melantik yang ada dalam dewan ini menjadi wakil Kerajaan Negeri untuk terus memperkasakan Dasar Jaringan Keselamatan Sosial dengan melihat di sekitar. Jika ada orang yang masih lagi hidup menderita, tidak mendapat apa-apa bantuan ambil maklumat mereka dan berikan kepada pemimpin serta Kerajaan Negeri,” katanya.

Program ini dianjurkan dengan tujuan untuk memberi penerangan kepada ahli-ahli persatuan gabungan NSWO dan PEKERTI NS serta masyarakat setempat tentang isu-isu semasa dalam pembangunan Negeri Sembilan.

Menteri Besar di dalam ucaptamanya menerangkan kepada peserta isu-isu semasa serta status pembangunan Negeri Sembilan yang terkini.

Ia dihadiri kira-kira 500 peserta daripada 28 ahli persatuan gabungan NSWO termasuk PEKERTI NS, Wanita UMNO, Wanita MCA, Wanita MIC serta lain-lain persatuan gabungan.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Seri Dr Haji Awaludin Said dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Seri Haji Mat Ali Hassan.