Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, walaupun sebelum ini Amanah mendakwa Pas dilihat mesra dengan kerajaan, namun realitinya pemimpin parti itu lebih cenderung untuk bersama Umno selepas Naib Presidennya, Datuk Husam Musa menyatakan solidariti bersama Adun BN, Datuk Nozula Mat Diah yang diusir keluar dari Sidang Dun Kelantan baru-baru ini.

“Mereka kata kita goyah serta bercelaru, namun pada saya mereka perlu jaga parti sendiri sudah lah dan jangan sibuk hal parti orang (Pas).

“Sebelum ini mereka kata kita mesra dengan Umno, tapi pemimpin mereka sendiri bersolidariti untuk Adun BN. Jangan jadi paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, Pas komited bersama Gagasan Sejahtera dan akan menentang Umno mahupun Pakatan Harapan pada PRU14.