ATM Rampas 470kg Ketum

ALOR SETAR, 11 OKT. – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Pasukan 2 Rejimen Sempadan (2 RS) merampas 470 kilogram daun ketum bernilai RM44,650 yang dipercayai hendak diseludup ke negara jiran semalam.

Panglima 6 Briged, Brig Jen Abdul Aziz Ismail berkata rampasan dibuat oleh empat anggota bersama seorang pegawai di kawasan Operasi Gubir, Pos Lampara pada jam 5.25 petang.

 “Semasa rondaan dibuat, anggota kita melihat sebuah kenderaan pacuan empat roda dan dua buah motosikal yang dinaiki oleh orang awam dalam keadaan mencurigakan sedang menurunkan guni-guni merah daripada kenderaan tersebut.

Orang awam terbabit seramai enam orang telah melarikan diri dan meninggalkan 47 guni yang berisi daun ketum di tepi jalan selepas menyedari kehadiran anggota keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Aziz berkata daun ketum yang dirampas itu telah dibawa ke Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan lanjut pihak polis. – Bernama