Auditorium SMJK Chan Wa II Siap 18 Bulan Lagi

Auditorium SMJK Chan Wa II Siap 18 Bulan Lagi

SEREMBAN, 4 APRIL – Penantian lebih 10 tahun Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chan Wa II, untuk memiliki sebuah dewan serba guna akhirnya tercapai, apabila dewan tersebut bakal dibina tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon berkata, auditorium dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk perpustakaan itu, dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

Menurutnya, pihak sekolah telah mempunyai dana mencukupi untuk laksanakan fasa pertama pembinaan dewan tersebut yang memerlukan kos keseluruhan sebanyak RM5 juta.

“Pada hari ini, saya telah menunaikan janji untuk menyalurkan bantuan sebanyak RM1 juta kepada sekolah ini, dan terima kasih kepada Khairy Jamaludin Abu Bakar kerana membantu saya mendapatkan dana tersebut.

“Dana berjumlah RM 1 juta itu sumbangan daripada pihak perseorangan yang merupakan anak jati Seremban, yang mahu melihat pembangunan pendidikan di sekolah dijalankan dengan lebih sempurna,” katanya selepas merasmikan  Majlis Pecah Tanah SMJK Chan Wa II di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Palimen Rembau, merangkap Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Pengetua SMJK Chan Wa II, Tai Choon Kong.

Dalam pada itu, Khairy memberitahu, mana-mana pihak tidak seharusnya mengharapkan bantuan kerajaan, jika mampu mendapatkan dana sendiri melalui hubungan baik dengan rakan-rakan yang berkemampuan.

“Kita tak perlukan bantuan kerajaan pun jika mampu mencari dana sendiri, jika ada hubungan baik dengan mana-mana pihak bolehlah minta bantuan mereka untuk salurkan dalam tabung pendidikan demi pembangunan dan kepentingan bersama.

“Apabila kita ada kepercayaan daripada masyarakat, mereka sendiri akan beri sumbangan untuk tabung pendidikan di kawasan tersebut, seperti apa yang saya lakukan, apabila saya tanya pemberi sumbangan ini untuk tujuan pendidikan, dia sendiri sukarela beri sumbangan.

“Bila orang yakin dengan kerja kita, kita boleh lakukan lebih dari itu, malah mereka sendiri akan bantu dengan hati yang terbuka,” katanya.

Khairy juga harapkan Ketua Pemuda MCA itu berjaya menawan hati pengundi di Parlimen Seremban pada PRU14 ini, sekali gus membantu pentadbiran dalam kerajaan negeri dan bakal dinaikkan taraf menteri penuh pada masa akan datang.

“Saya berharap Chong Sin Woon akan menang pada PRU14 ini dan adalah sesuatu yang lebih baik jika Negeri Sembilan mempunyai dua orang menteri pada masa akan datang,” katanya.

Sumber – Sinar Harian