Azizulhasni fokus Sukan Asia, Komanwel

Azizulhasni fokus Sukan Asia, Komanwel

NILAI, 13 FEB – JUARA keirin dunia, Mohd. Azizulhasni Awang mengesahkan dia akan memberi keutamaan khusus kepada persediaan menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018.

 

Jaguh berbasikal negara itu yang lebih mesra dengan panggilan Jijoe dalam kalangan rakan sepasukan berkata, dia perlu bijak memilih kejohanan yang bakal disertainya pada tahun ini bagi memastikan dirinya berada pada prestasi terbaik ketika menyertai sesuatu kejohanan.

Sukan Komanwel bakal diadakan di Gold Coast, Australia dari 4 hingga 15 April, manakala Sukan Asia dijadualkan berlangsung dari 18 Ogos hingga 2 September depan di Indonesia.

“Penyertaan saya pada Kejohanan Berbasikal Asia, hujung minggu ini bukan sasaran untuk meraih pingat kerana saya perlu menghadapi cabaran lebih besar selepas ini iaitu Sukan Koman–wel dan Sukan Asia,” katanya.

Azizulhasni ditemui pembe–rita selepas menerima lawatan daripada Pengerusi Institut Sukan Negara, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi dan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel 2018, Huang Ying How di Velodrom Nasional Malaysia di Nilai semalam.

Menurut Azizulhasni, dia juga berpuas hati dengan program latihan diatur jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley yang memberi fokus kepada kualiti latihan berbanding tempoh latihan.

“Tahun ini saya mengambil keputusan untuk menangguhkan pengajian untuk memberi fokus kepada kalendar perlumbaan musim ini yang begitu padat.

“Peningkatan amat drastik dalam program latihan dan saya sangat berpuas hati dengan pe–rancangan yang ditetapkan jurulatih,” ujar anak jati Terengganu itu.

Sementara itu, Beasley berpuas hati dengan peningkatan ditampilkan Azizulhasni semasa sesi latihan, namun banyak usaha perlu dilakukan bagi memastikan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu berada pada prestasi terbaik bagi menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018.

“Apa yang saya boleh katakan, otot-otot Azizulhasni semakin mantap yang menjadi keutamaan kami sejak setahun lepas, dengan sebahagian latihan dijalankan di gimnasium,” ujar Beasley.

Sumber – Bernama