Pelumba berusia 29 tahun itu hanya layak bersaing dalam pe­rebutan kedudukan tujuh hingga 12, sebelum menamatkan cabaran di tempat ke-10.

Walaupun berjaya memperbaiki pencapaian berbanding Siri 1 di Poland minggu lalu, Azizulhasni, 29, dilihat masih tercari-cari rentak seperti ketika muncul juara dunia di Hong Kong, April lalu.

Namun apa yang positif, ada perubahan ditunjukkan Azizulhasni yang terdahulu menduduki tempat kedua dalam saringan empat di pusingan pertama sebelum berada di tempat tercorot yakni keenam dalam saringan kedua di pusingan kedua.

“Secara keseluruhan, saya amat berpuas hati dengan pencapaian saya dalam dua siri Pia­la Dunia di Pruszkov dan Manchester.

“Dengan kecederaan buku lali yang dialami ketika kemalangan di Poland, saya masih berjaya meneruskan perjua­ngan di Manchester dengan keputusan amat memuaskan walaupun tidak dapat menaiki podium.

“Secara peribadi, saya merasakan ini permulaan baik bagi saya sebelum menghadapi Kejohanan Asia dan Kejohanan Dunia pada awal 2018,” kata Azizulhasni dalam Facebook.

Pelumba yang terkenal de­ngan jolokan The Pocket ­Rocketman itu bagaimanapun mengakui, ada beberapa aspek yang perlu dipertingkatkan dan diperbaiki dalam tempoh dua bulan akan datang sepanjang latihan di Melbourne.

Ia termasuk persediaan fizikal, taktikal serta mental bagi menghadapi pencabar yang terdiri daripada pelumba-pelumba terbaik dunia.

Acara keirin lelaki Siri 2 dimenangi pelumba Belanda, Ma­t­thijs Buchli yang menewaskan Andrii Vynokurov dari Ukraine, manakala pelumba Sepanyol, Juan Peralta Gascon di tempat ketiga.

Dalam acara 1 kilometer ujian masa lelaki pula, Muhammad Fadhli Mohd. Zonis pada penampilan pertamanya dalam Siri Piala Dunia tahun ini hanya mampu menduduki tempat ke-18 daripada 22 pelumba yang mengambil bahagian di pusi­ngan kelayakan dengan catatan masa satu minit, 4.193 saat.- Utusan