Bajet Pendidikan 2018 Pacu Inisiatif PADU

Bajet Pendidikan 2018 Pacu Inisiatif PADU

BAJET Pendidikan 2018 akan memacu lebih pantas Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 gelombang satu yang telah mencapai 86 peratus pelaksanaannya.

Dengan bajet untuk sektor pendidikan yang diumumkan baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU), Khadijah Abdullah meyakini PPPM gelombang dua akan bergerak lebih pantas.

Sebanyak RM250 juta diperuntukkan untuk pendidikan generasi TN50, termasuk menubuhkan pusat Sains, Teknologi dan Kejuruteraan dan Matematik (STEM), mempertingkatkan modul Sains Komputer termasuk program Coding dan menaik taraf 2,000 kelas menjadi Bilik Darjah Pintar Pembelajaran Abad ke-21.

“Insya-Allah pada gelombang kedua PPPM ini, kita akan berge­rak dengan lebih laju dan, dengan bajet yang kita akan dapat 2018, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan bergerak lebih laju untuk memantapkan semua pergerakan yang kita ada,” katanya dalam sidang akhbar di London, United Kingdom, baru-baru ini.

Ditanya peranan dan fungsi PADU, ujar beliau, apabila PPPM diwujudkan, salah satu perkara yang sangat diambil berat ialah pelaksanaan.

Oleh sebab itu, PADU sebagai badan bebas untuk membantu dan bekerjasama dengan KPM bagi memastikan pelaksanaan pelan itu dapat dijayakan.

Katanya, antara tugas PADU ialah memantau dan memastikan semua perancangan berjalan mengikut pelan, dan berganding bahu dengan KPM jika timbul isu atau masalah.

“Kita juga membantu menjadi pemudah cara dari segi mendapatkan kerjasama antara beberapa bahagian.

“Setakat ini, Alhamdulilah, kerjasama dgn KPM sangat menggalakkan untuk kita terus bersemangat,”ujarnya.

Antara perkara yang dilaksa­na­kan PADU ialah menentukan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) semasa dan keutamaan yang perlu dibuat untuk tahun hadapan, dan apakah perkara yang perlu digerakkan dengan lebih laju, atau sebagainya.

Tambah beliau, dalam sistem pendidikan, terdapat banyak perkara yang hendak diperbaiki, dan semua perlu dilakukan sealiran.

“Contohnya kualiti guru, ke­pimpinan, di peringkat guru besar dan pengetua, kepemimpinan peringkat daerah, peringkat jabatan, negeri dan kementerian,” ujarnya.

Selain itu, seperti disentuh dalam bajet 2018, Penggunaan ICT menjadi sangat penting dalam pendidikan di Malaysia.

Pihaknya juga menggalakkan sumbangan ibu dan badan badan korporat dalam pendidikan. Hal ini juga telah menunjukkan peningkatan, kata Khadijah.

“Ramai ibu bapa sekarang sangat memberi sokongan dan banyak badan korporat yang sangat prihatin dan memberi sokongan yang kuat kepada usaha-usaha KPM dalam mencapai sistem pendidikan bertaraf antarabangsa,’’ ujarnya.

Kepada satu soalan, kata Khadijah, PADU hanya menggerakkan apa yang ditentukan oleh pelan itu, sementara hal-hal pengajaran dan pembelajaran seperti penyampaian pedagogi dilaksanakan oleh KPM.

“PADU menggerakkan dari segi pemantauan, bajet dan sebagainya,” katanya.

Ditanya mekanisme pemantauan PADU, Khadijah menjelaskan pihaknya mempunyai `dashboard’ yang berfungsi untuk tujuan itu.

“Bila kita melakukan projek, kita akan memantaunya secara ketat.

“Pada setiap minggu kita pantau `dashboard’, mengemaskinikannya setiap minggu dan secara mingguan, kita angkat kepada pihak atasan untuk melaporkan sama ada projek berjalan dengan baik, bermasalah atau tiada masalah, atau tidak boleh bergerak.

“Ini budaya baharu, iaitu se­mua pergerakan perlu lebih ber­disiplin,” ujarnya.

Tegas beliau, salah satu komitmen PADU ialah perlu bersikap telus, dan pada setiap tahun, ia perlu mengeluarkan laporan.

“Secara jujurnya kami memberitahu apakah perkara-perkara yang telah kita capai dan apakah perkara yang kita tidak capai. Setakat ini kita telah keluarkan empat laporan tahunan, iaitu sejak 2013 sehingga 2016.

“Saya menggalakkan sesiapa yang berminat, boleh berbuat demikian melalui laman web kami, www.padu.edu.my. Jika hendak maklumat lebih lanjut, bolehlah menghubungi kami,” katanya.

PADU membuat pelaporan kepada lembaga yang dipengerusikan Ketua Setiausaha.

Beliau turut membayangkan perubahan-perubahan dalam sis­tem pendidikan yang meme­nuhi kehendak PPPM seperti penilaian yang holistik bagi menggantikan penilaian akademik.

“Memang kita menuju ke arah pentaksiran yang lebih holistik, dan bukan sahaja menumpukan kepada akademik.

“Inilah yang diminta oleh rak­yat secara keseluruhannya,”ujar beliau.

Katanya, aspek penilaian pelajar yang holistik inilah yang sedang dilakukan oleh KPM.

“Memanglah dari segi penilai­an kita perlu berubah kerana pada masa hadapan kita perlu melihat nilai seseorang murid bukan sahaja dari segi pencapaian akademik, tetapi kita perlu melihat nilai, sahsiah, psikometrik, kokurikulum dan sebagainya.

“Inilah yang sedang dilakukan oleh KPM sekarang,” katanya.

Oleh sebab hal ini adalah perkara baharu, maka penerimaan oleh ibu bapa masih dalam proses memahami dan menerima perubahan, kata Khadijah.

Bila KPM mempunyai mekanisme penilaian yang holistik, barulah potensi anak-anak boleh diatur mengikut beberapa bidang.

“Sebab itu dalam KPM kita ada Sekolah Sukan, Sekolah Seni dan Vokasional yang menjurus penyediaan masa depan lebih cerah,” kata Khadijah.