Bagaimanapun, Bashah yang juga Menteri Besar Kedah berkata, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya diminta untuk ‘mengundurkan diri’ oleh KFA atau penyokong pasukan Lang Merah itu.

“Cadangan ini (meletakan jawatan Presiden) merupakan pandangan Pemuda UMNO Kedah yang merasakan penyokong tidak menghargai apa yang saya lakukan selama ini selaku Pre­siden KFA.

“Saya masih lagi Presiden KFA dan itu (letak jawatan) bergantung kepada KFA tetapi kalau penyokong kata tak perlu (terajui) jadi tidak perlulah, saya tiada masalah,” katanya selepas Majlis Pelancaran Kejohanan Bola Sepak Piala Menteri Besar Kedah di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai desakan Pemuda UMNO Kedah supaya Ahmad Bashah meletakan jawatannya sebagai Presiden KFA.

Sementara itu, mengenai desas-desus bahawa pemain Lang Merah menerima sogokan supaya menjual perlawanan dalam aksi akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) Sabtu lalu, Ahmad Bashah berkata, mana-mana pihak yang mempunyai bukti mengenai perkara tersebut perlu melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kata beliau, ini supaya siasatan boleh dijalankan oleh SPRM berhubung dakwaan tersebut.

“Viral (tular) ini kita tidak boleh percaya sangat tetapi kalau ada bukti, boleh bawa ke tengah atau laporkan kepada SPRM. Itu hak orang ramai, peminat untuk buat laporan (kepada SPRM) jika mempunyai bukti.

“Sudah semestinya SPRM akan siasat sekiranya menerima laporan rasmi. Di pihak KFA, kita tidak mempunyai masalah untuk SPRM menyiasat pemain kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tular di laman sosial bahawa individu yang dikenali sebagai Pak Mat Gulai Ikan Temenung mendakwa mendapat maklumat daripada tauke bookie bahawa terdapat tujuh pemain Lang Merah disogok RM200,000 setiap seorang.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Bashah memberitahu, Mohd. Nidzam Adzha Yusoff sudah menunjukkan prestasi yang baik sebagai Ketua Jurulatih Kedah sehingga membolehkan pasukan tersebut mara ke pentas akhir Piala Malaysia baru-baru ini.

“Dia masih Ketua Jurulatih Kedah…. KFA belum buat keputusan lagi dan kita tidak menerima apa-apa surat peletakan jawatan daripadanya. Perlawanan ada menang ada kalah… kalau kalah bukan berertinya kalah selama­nya.

“Pada saya, Nidzam memang bagus kerana boleh membawa skuad Lang Merah hingga ke final (Piala Malaysia)… ini bukan tugas mudah. Apa-apa pun, pihak pengurusan KFA akan menentukan kedudukannya musim depan,” katanya.- Utusan