Biro IT UMNO Jadi Pejuang Parti Di Media Sosial

Biro IT UMNO Jadi Pejuang Parti Di Media Sosial

KUALA LUMPUR – UMNO mengakui wujud kelemahan daripada segi komunikasi tanpa lisan jentera parti ketika menghadapi PRU sebelum ini.

Bagaimanapun, Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, dengan wujudnya Biro Teknologi Maklumat (Biro IT) UMNO dan Wira Keyboard, beliau yakin kelemahan dan persepsi itu dalam diuruskan dengan baik.

Katanya, Malaysia ketika itu terjebak sebagai antara sebuah negara yang tertinggi di dunia dengan peratusan penduduknya yang aktif dalam media sosial.

“Berdasarkan kajian Asia Pasifik, sebanyak 62 peratus dari penduduk negara ini aktif dalam media sosial. Kesan yang berlaku dari keaktifan itu menyebabkan pola pemikiran rakyat terhadap kerajaan merudum.

“Kita sebagai jentera harus bangkit dan sedar, perbezaan pendapat dalam media sosial ini yang harus diraikan dan ditangani secara intelektual serta menggunakan pendekatan psikologi mengikut citarasa kumpulan sasar,” katanya pada Konvensyen Media Sosial peringkat Kebangsaan di Dewan Tun Razak 4 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, jentera Biro IT harus mengikut perubahan dunia yang dahulu sistem komunikasi konvensional kini berubah kepada sistem komunikasi bersemuka dan lisan.

Jelas beliau, ini hakikatnya apabila globalisasi yang dirasai rakyat dengan gelombang yang bukan sahaja menerjah negara ini, malah ia turut memberi tempias kepada minda pemikiran dan emosi rakyat termasuk ahli UMNO dan BN.

“Dengan terjahan ini, tidak ada orang lain mampu menolak gelombang berkenaan tetapi kita harus melihat keberkesanan usaha ini.

“Pertama, kita kena lihat isu yang terfokus kepada kita adalah isu sama ada pasal dasar, soal pentadbiran dan pelaksanaan, tapi paling terkesan ialah pembunuhan watak yang digunakan pembangkang.

“Maka dengan adanya Biro IT ini, anda perlu sentiasa berada di garisan hadapan untuk menguruskan persepsi buruk ini kerana pemikiran masyarakat adalah berbeza,” ujarnya.