Itulah realitinya sikap pe­nge­cut blogger pembangkang yang terdedah hari ini apabila tiada seorang pun berani bersemuka dengan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang telah mengatur pertemuan dengan mereka pada pukul 2 petang di Hotel Le Meridien di sini.

Walaupun Anifah terpaksa menunggu sehingga pukul 3.30 petang, blogger tersebut langsung tidak muncul menyebabkan pertemuan itu hanya menjadi sesi penerangan tentang isu yang dibangkitkan kepada petugas media, orang awam dan pengamal undang-undang yang hadir.

“Saya bersetuju untuk me­ngadakan pertemuan ini bagi menjelaskan perkara sebenar kera­na banyak pihak yang bercakap tentang perkara ini tanpa maklumat tepat,” katanya dalam sesi tersebut.

Yang turut hadir bersama Anifah untuk memberikan penjelasan tentang perkara itu adalah peguam, Datuk James Lugunjang dan Tengku Fuad Ahmad serta penganalisis politik, Abdul Jalil Gani.

Difahamkan sebuah kumpulan terdiri daripada pemimpin dan blogger pembangkang yang lantang di media sosial telah meminta supaya Anifah yang merupakan Pengerusi MySabah mengatur pertemuan itu, namun selepas program berkenaan diatur dengan baik, mereka tidak menghadirinya.

Menjelaskan ten­tang MA63, Anifah berkata, selama ini bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah me­nyembunyikan fakta bahawa Sabah berhak mendapat seba­nyak 40 peratus daripada hasil negeri yang diberikan kepada Kerajaan Persekutuan.

Tegasnya, selama 22 tahun, tiada seorang pun yang bercakap mengenai isu tersebut kerana jika berani bersuara mereka akan ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menurutnya, situasi berke­naan telah berubah sejak Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri dengan berjanji untuk memulangkan balik apa sahaja hak rakyat Sabah jika telah diambil di peringkat Pusat.

“Selama 22 tahun itu, jika anda bercakap tentang MA63 pasti dimasukkan ke ‘Universiti Kamun­ting’. Saya juga mempunyai pandangan tentang MA63 tetapi saya tidak boleh bersuara kerana tidak mahu dimasukkan ke dalam sana.

“Berbeza dengan Perdana Men­teri sekarang, beliau le­bih ter­buka malah Sabah dan Sa­rawak boleh membawa isu ini ke dalam mesyuarat Kabinet untuk dibincangkan,” ujarnya.