Pesuruhjaya Kehakiman Mah­kamah Tinggi di sini, Datuk Seri Tun Abd. Majid Tun Hamzah menyatakan, untuk mengguna pa­kai Seksyen 294 Kanun Prosedur Jenayah, beberapa faktor perlu diberi pertimbangan antaranya umur, jenis kesalahan dan kesihatan mental responden, Rozita Mohamad Ali.

“Responden berusia 44 tahun, bukanlah satu usia yang muda. Tekanan perasaan yang didakwa dialaminya juga bukannya terjadi sebelum kesalahan dilakukan. Tiada sebarang faktor yang membolehkan responden diberikan hukuman ringan,” ujar hakim itu.

SUYANTI SUTRINSO
SUYANTI SUTRINSO

Mahkamah tersebut turut bersependapat dengan hujah Pe­ng­a­­rah­ Pendakwaan Negeri, Muhamad Iskandar Ahmad bahawa walaupun mangsa pernah membuat laporan polis untuk menarik balik aduannya, hal itu tidak boleh dijadikan alasan untuk memberi hukuman ringan kerana hak untuk meneruskan pendakwaan ialah hak mutlak Peguam Negara.

Tun Abd. Majid kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap Rozita selepas membenarkan permohonan semakan oleh pihak pendakwaan yang difailkan pada 19 Mac lalu untuk mengetepikan hukuman bon berkelakuan baik terhadap wanita itu yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 15 Mac lalu.

Suri rumah yang memelihara 17 ekor kucing itu juga terpaksa meringkuk di Penjara Kajang bermula hari ini selepas permohonannya melalui peguam, Moha­med Haniff Khatri Abdulla yang mewakilinya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu ditolak oleh mahkamah kerana tiada sebarang keadaan istimewa.

Peguam tersebut ketika me­mohon penangguhan tersebut menyatakan anak guamnya tidak akan melarikan diri kerana keluar­ganya berada di negara ini, tambahan pula Rozita amat risaukan kebajikan kucing-kucing peliha­raannya.

Ketika di Mahkamah Sesyen, Rozita dikenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan jaminan RM20,000 selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan pindaan menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti Sutrinso, 19, setelah video mengenai kejadian itu telah menjadi tular dalam media sosial.

Rozita didakwa telah menyebabkan kecederaan parah menggunakan sebilah pisau berhulu biru, sebatang mop lantai, sekaki payung, sebatang rod besi berwarna biru, sebatang alat mainan kucing dan penyangkut baju berwarna putih.

Wanita itu sebelum ini didakwa atas tuduhan cubaan membunuh mangsa sama dalam kejadian yang didakwa dilakukan di sebuah rumah, Jalan PJU 7/30, Mutiara Damansara dekat sini antara pukul 7 pagi dan 12 tengah hari, 21 Jun 2016.

Pertuduhan menyebabkan kecederaan parah itu dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hu­kuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Terdahulu, Muhamad Iskandar berhujah, Rozita telah mengambil kesempatan atas keadaan mangsa yang tidak berupaya untuk me­minta pertolongan.

“Mangsa hanya berdua dengan responden di tempat kejadian. Dengan siapa dia boleh minta bantuan, dia pula seorang warga asing di sini. Responden menya­lahgunakan kedudukannya sebagai majikan mengakibatkan kecederaan serius hanya kerana kesalahan kecil. Adakah wajar seorang manusia yang merantau jauh demi mencari sesuap nasi diperlakukan sedemikian?” soal Muhamad Iskandar.

Mohamed Haniff Khatri pula berkata, Hakim Mahkamah Se­syen tidak terkhilaf ketika memutuskan untuk mengenakan bon tersebut setelah mengambil kira semua aspek termasuk mang­sa sendiri selain menegaskan bahawa netizen tidak tahu apa yang berlaku termasuk tindakan mang­sa yang telah membuat laporan bagi menarik balik aduannya. – Utusan