Cabaran CP150 Amirul Hafiq Sudah Sedia

Cabaran CP150 Amirul Hafiq Sudah Sedia

PELUMBA Onexox TKKR Racing, Amirul Hafiq Azmi bersedia hadapi cabaran CP150 pada Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan, 14 dan 15 Oktober ini.

Bekas pelumba Moto3 itu yakin dapat menyesuaikan diri bersama jentera Yamaha Y15ZR yang digunakan untuk mencatat keputusan lebih baik minggu ini.

“Bukan mudah untuk menyesuaikan diri dengan jentera Cub Prix ini setelah agak lama meninggalkan saingan Cub Prix.

“Mujurlah pasukan banyak memberi sokongan dan tunjuk ajar, begitu juga dengan rakan-rakan seperti Mohd Helmi (Azman),” kata Amirul Hafiq.

Tambahnya, kali ini dia lebih memahami aspek teknikal jentera dan juga suasana cabaran saingan CP150 yang sangat sengit memandangkan kategori ini melibatkan pelumba-pelumba negara yang cukup berpengalaman.

Pada masa sama pelumba itu cukup teruja kerana dapat kembali ke litar termasuk beraksi di dalam kategori Asia Production 250cc di pentas Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

“Saya berterima kasih kepada pasukan Onexox TKKR Racing kerana meletakkan kepercayaan mereka kepada saya dan peluang ini tidak akan saya sia-siakan,” katanya.- Sinar