Cikgu MRSM Sempat Semak Kertas Fizik Sebelum Maut

SABAK BERNAM, 13 NOV. – Seorang guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar sempat menanda kertas jawapan dan menyiapkan analisa awal kertas soalan fizik semester dua pelajar tingkatan 4 sebelum disahkan meninggal dunia dalam kemalangan di Terusan Utama Parit 4, Sungai Besar, awal pagi tadi.

Mangsa, Khairul Anuar Salim, 30, memuat naik status itu di laman sosial Facebooknya pada jam 10.27 malam, Sabtu lalu.

“Tiada pelajar gagal. Good Job (Syabas),” tulisnya dalam status Facebooknya yang dimuat naik arwah ketika berada di Tampin, Negeri Sembilan.

Khairul Anuar yang memadu bersendirian Produa Myvi dilaporkan hilang kawalan lalu masuk ke kiri jalan dan merempuh pokok kelapa sawit, kira-kira jam 7 pagi tadi.

Arwah yang dalam perjalanan ke MRSM Sungai Besar setelah bercuti hujung minggu di kampungnya di Tampin, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa mengesahkan kejadian terbabit.

Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat patah tulang tengkuk utama.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.- Sinar