DAP Perlu Umum Segera Tarikh Pemilihan Semula CEC

DAP Perlu Umum Segera Tarikh Pemilihan Semula CEC

SEREMBAN – DAP didesak membuat pengumuman secara rasmi dan terbuka mengenai tarikh dan lokasi pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) seperti diarahkan Jaba­tan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Bekas Setiausaha DAP Cawangan Taman Bukit Emas, S. Vijayan berkata, sehingga kini kepimpinan tertinggi DAP masih bersikap sambil lewa terhadap isu itu apabila enggan mendedahkan tarikh dan tempat pemilihan semula itu akan diadakan.

Beliau berkata, sikap membisu parti itu menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli memandang­kan pilihan raya umum boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja dan DAP mungkin tidak dibenarkan menggunakan logonya sekiranya isu pemilihan itu tidak dise­lesaikan segera.

“Kami perwakilan dan ahli DAP hendak tahu mengapa sampai sekarang DAP masih belum beritahu kami tarikh dan tempat pemilihan semula mahu diadakan. Sudah berapa lama sejak ROS mengarahkan DAP membuat pemilihan semula berdasarkan kepada senarai perwakilan 2012. DAP terutama Penasihatnya, Lim Kit Siang harus ajar orang kuatnya apa erti telus dan cekap.

“Kedegilan kepimpinan DAP mengadakan pemilihan semula se­perti diarahkan ROS tidak dapat diterima terutama oleh ahli di pe­ringkat akar umbi yang mahu parti patuh pada undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar, baru-baru ini.

Vijayan berkata, DAP harus mengikut senarai 2,576 perwakilan dan 865 cawangan yang berdaftar pada 2012 untuk me­ngadakan pemilihan semula itu memandangkan pemilihan pada 2013 menyaksikan terdapat 120 cawangan baharu yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

“Adakah ini menunjukkan bahawa DAP sengaja hendak mengelirukan para perwakilan dan ahli-ahlinya? Sepatutnya kongres kebangsaan yang perlu diutamakan dan bukannya kongres khas seperti dikehendaki pemimpin tertentu,” ujarnya.

Tegasnya, tujuan ahli-ahli di peringkat akar umbi mengadakan sidang akhbar bukan untuk menghentam DAP tetapi bimbang parti itu akan hancur akibat mengikut telunjuk pemimpin tertentu yang mempunyai kepentingan peribadi.

Sumber : Utusan Online