Dewan Pendeta Za’ba Beri Manfaat Kepada Penduduk Taman Tuanku Jaafar

Dewan Pendeta Za’ba Beri Manfaat Kepada Penduduk Taman Tuanku Jaafar

SEREMBAN, 10 APRIL – Dewan Pendeta Za’ba Sekolah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar (SKTTJ) bukan sahaja dapat memberi manfaat untuk dijalankan pelbagai aktiviti persekolahan tetapi juga boleh digunakan sebagai kemudahan awam kepada penduduk di sekitar Taman Tuanku Jaafar (TTJ).

Berikut dinyatakan Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan ketika berucap dalam Majlis Santai Petang dan Perasmian Dewan Terbuka (Dewan Pendeta Za’ba) SKTTJ, hari ini.

Menurut beliau lagi, pembinaan dewan terbuka ini sekaligus dapat menampung keperluan penduduk sekitar yang padat untuk digunakan sebagai lokasi perkahwinan dan pelbagai lagi aktiviti kemasyarakatan memandangkan kawasan TTJ kekurangan dewan disebabkan kawasan tanahnya yang terhad.

Selain itu, Dewan Pendeta Za’ba dibina bagi memenuhi hasrat pihak sekolah yang memerlukan sebuah dewan bagi menampung keperluan para pelajar dan guru-guru untuk menjalankan aktiviti kokurikulum dan pelbagai aktiviti sekolah yang lain.

Beliau juga berharap agar Dewan Pendeta Za’ba dapat menambah nilai kepada kecemerlangan sekolah serta menjadikan SKTTJ antara sekolah terbaik di Negeri Sembilan.

Dalam majlis sama, Menteri Besar turut menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada pelajar-pelajar SKTTJ yang cemerlang dalam peperiksaan tahun 2017.

Turut hadir, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Tuan Mohd Ghazali Abd Wahid; Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Tuan Haji Misri Mistama; Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Seremban, Puan Hajah Rodiah Mohd Jan dan Guru Besar SKTTJ, Puan Noormah Haji Mansor.