Didenda RM20,000 Kerana Muat Naik Posting Jelik Berkaitan PM

Didenda RM20,000 Kerana Muat Naik Posting Jelik Berkaitan PM

KUALA LUMPUR, 08 FEB –  Seorang peniaga didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah empat pertuduhan memuat naik posting berunsur jelik dan palsu berkaitan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali di laman Facebooknya, dua tahun lalu.

Hakim Zaman Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Azhar Mamat, 45, atau memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Azhar didakwa secara sedar melalui laman Facebook ‘Azhar Mamat’ membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang bersifat jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain antara pukul 10.16 malam, 21 Julai dan pukul 8.27 malam, 27 Julai 2016.

Bapa kepada anak tiga itu turut didakwa menggunakan Facebook yang sama memulakan komunikasi palsu dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada pukul 8.28 malam, 29 Julai dua tahun lalu.

Kesemua pautan itu telah dibaca di Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), tingkat 11, Menara A, Pandan Capital, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah, di sini, kira-kira pukul 7 malam, 15 Ogos 2016.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 234(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mohd. Sophian Zakaria memohon hukuman tegas atas alasan kesalahan yang dilakukan itu menjejaskan nama baik dan reputasi dua individu iaitu Perdana Menteri dan Peguam Negara kita.

“Tindakan Azhar seolah-olah tidak menghormati dua pemimpin negara kita yang boleh memberi imej buruk kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Peguam, Adlizan Noor yang mewakili Azhar memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri yang tidak bekerja, anak yang masih bersekolah dan ibunya menghidap sakit tua dengan pendapatan dalam lingkungan RM3,000 sebulan.

Berdasarkan fakta kes, seorang individu telah membaca empat kandungan posting berunsur komunikasi jelik yang telah dimuat naik Azhar sebelum individu itu membuat laporan kepada SKMM.