Dalam forum anjuran pembangkang di Petaling Jaya, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Penasihat DAP itu menjadi ahli panel untuk menerima segala soalan daripada para peserta.

Dewan agak riuh apabila seorang peserta forum bertanyakan pendirian Dr. Mahathir mengenai tuduhan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, 20 tahun lalu.

Namun, jawapan yang diberikan ternyata mengecewakan hadirin yang hadir apabila bekas Perdana Menteri itu seperti me­nyalahkan pihak polis dengan anggapan cuba menjatuhkan pemimpin PKR berkenaan.

“Saya ingat polis cuba menjatuhkan beliau. Oleh itu, saya tidak buat apa-apa tindakan. Pihak polis kemudiannya terus memberi laporan terperinci, tetapi saya tetap tidak mahu mempercayainya,” katanya dalam forum tersebut.

Dalam usaha mempertahankan diri, Dr. Mahathir berkata, tindakan diambil terhadap Anwar selepas mendapat pandangan pemimpin-pemimpin UMNO lain untuk menolak bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Beberapa soalan lagi yang ditujukan kepada Dr. Mahathir dan Kit Siang dilihat seperti sindiran terhadap kedua-duanya yang diketahui sebelum ini merupakan musuh politik sesama mereka.

Soalan terus ‘dikenakan’ terhadap Dr. Mahathir dan kali ini melibatkan penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan ahli-ahli politik pembangkang.

Dr. Mahathir bagaimanapun memberitahu, penguatkuasaan ISA yang digunakan oleh beberapa Perdana Menteri sebelumnya menyebabkan lebih ramai ditahan berbanding tempoh 22 tahun pemerintahannya.

Dalam pada itu, Kit Siang yang lebih banyak berdiam diri juga tidak terlepas daripada sasaran pemuda-pemuda yang hadir apabila ditanya mengenai amalan kronisme Dr. Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri dan tentangan kepada aktiviti daga­ngan mata wang asing (forex) pada awal 1990-an.

Penasihat DAP itu tidak menjawab soalan seperti yang diharapkan dan tidak cuba langsung mempersoalkan perkara berkenaan.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, seorang peserta yang hanya mahu dikenali sebagai Jason sebelum itu bertanyakan konsep ketuanan Melayu kepada Dr. Mahathir melahirkan kekecewaan dengan jawapan yang diberikan apabila bekas Presiden UMNO itu mendakwa ketuanan Melayu sebagai pandangan ekstremis.

“Saya tidak berpuas hati de­ngan jawapan yang diberikan. Sedangkan beliau sebelum ini menerusi ucapan serta penulisan ternyata memperjuangkan orang Melayu,” katanya.

Moderator forum itu terpaksa menamatkan sesi pertanyaan atas alasan keadaan kesihatan Dr. Mahathir yang tidak begitu baik.

Antara soalan yang tidak dijawab sepenuhnya oleh Dr. Mahathir termasuklah dakwaan buruknya mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan konsesi tol di lebuh raya utama negara.