DYMM Tuanku Aishah Rohani Berkenan Isytihar Istiadat Pembukaan Majlis Konvokesyen Ke-15 USIM

DYMM Tuanku Aishah Rohani Berkenan Isytihar Istiadat Pembukaan Majlis Konvokesyen Ke-15 USIM

NILAI, 21 NOV – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud berkenan mengisytiharkan Istiadat Pembukaan Majlis Konvokesyen Ke-15 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hari ini.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi Tunku Besar Seri Menanti, YAM Tunku Ali Redhauddin dan Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan.

Pada majlis konvokesyen kali ini seramai 2,562 graduan USIM menerima Ijazah Sarjana Muda, Diploma Siswazah, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah.

Bertemakan ‘Teknologi Islam’, majlis konvokesyen kali ini selari dengan kelahiran kumpulan sulung 21 graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dengan Kepujian (Kejuruteraan Elektronik) di bawah Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB).

DYMM Tuanku Aishah dalam titah ucapannya menyeru agar para graduan tidak mudah terikut-ikut dengan gejala negatif yang tidak membawa kebaikan kepada diri.

“Dengan pendekatan yang diterapkan di USIM, Beta yakin kamu akan berupaya mengharungi pelbagai cabaran yang mendatang.

“Graduan di hadapan Beta hari ini adalah golongan yang luhur akhlaknya, berdaya intelek tinggi dan kental jiwanya dalam mengharungi sebarang bentuk anasir yang mampu merapuhkan jati diri,” titah Baginda.

Baginda juga menasihatkan agar para graduan menggunakan segala ilmu, kemahiran dan pengalaman yang telah dipelajari dengan sebaiknya terutama apabila melangkah ke alam pekerjaan.

“Sentiasalah bersifat jujur dan amanah semasa menjalankan tugas dan elakkanlah diri daripada melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan apa yang telah dipelajari,” titah Baginda lagi.