Ekonomi Malaysia Berkembang 5.4 Peratus Tahun Ini – Bank Dunia

Ekonomi Malaysia Berkembang 5.4 Peratus Tahun Ini – Bank Dunia

KUALA LUMPUR, 12 APRIL  – Bank Dunia meningkatkan jangkaan pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 5.4 peratus tahun ini berbanding jangkaan sebelum ini sebanyak 5.2 peratus.
Dalam laporan terkini Bank Dunia mengenai Ekonomi Asia Timur dan Pasifik bagi edisi April 2018, ia menyatakan, pertumbuhan Malaysia dijangka kekal kukuh dalam jangka waktu terdekat, walaupun dalam kadar sederhana berbanding 2017.

“Secara agregat, kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia akan disokong oleh pengukuhan berterusan penggunaan swasta,” kata laporan itu.

Laporan itu menyebut, dengan jangkaan penurunan dalam pelaburan awam, pembentukan modal tetap kasar akan dipacu terutamanya oleh peningkatan perbelanjaan modal sektor swasta, yang dijangka dapat dikekalkan oleh aliran berterusan projek dan pelaburan modal dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.

“Kekukuhan prestasi eksport Malaysia dijangka berterusan pada setengah tahun pertama 2018, selaras peningkatan kitaran berterusan dalam perdagangan global, walaupun pada kadar lebih rendah berbanding tahun sebelumnya,” kata laporan itu. – Bernama