Ekspo Jualan Perumahan Negeri Sembilan Dirasmikan

Ekspo Jualan Perumahan Negeri Sembilan Dirasmikan

SEREMBAN, 12 APRIL – Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Ekspo Jualan Perumahan (Ekspo Sejuta Impian) yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban, hari ini.

Ekspo Jualan Perumahan Edisi Negeri Sembilan yang dianjurkan oleh Kementerian Kesejateraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia (KPKT), Perbadanan PR1MA Malaysia dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perumahan Penjawat Awam Satu Malaysia (PPA1M) ini berlangsung pada 12 hingga 16 April 2018 menawarkan lebih daripada 21,000 unit rumah.

Antara lain, ia menjadi salah satu komitmen Kerajaan Negeri dalam isu perumahan di Negeri Sembilan yang mensasarkan golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).

Menteri Besar dalam ucapannya berkata, ekspo ini adalah salah satu kaedah untuk memberikan peluang dan ruang kepada orang ramai untuk menunjukkan bahawa terdapatnya rumah-rumah yang mampu dimiliki dan boleh dibeli oleh orang ramai.

Tambah beliau lagi, ekspo seperti ini dapat memberi makna kepada orang ramai supaya mereka mendapat pengetahuan dalam pembelian rumah selain menjadi satu cara untuk menyelesaikan masalah pemilikan perumahan yang melambung tinggi khususnya buat golongan muda dan baru berkahwin.

Dalam majlis sama, beliau turut menyerahkan replika kunci sebagai simbolik kepada 12 penerima pembeli rumah PR1MA Rantau dan Port Dickson serta menyampaikan Surat Tawaran Program Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) Simpang Durian, Jelebu kepada 25 penerima.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Seri Haji Mat Ali Hassan; Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Haji Jalaluddin Haji Alias; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPKT, Dr Mary Wong Lai Lin; Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Dato’ Abdul Mutalib Alias dan Ketua Pegawai Eksekutif SPNB Mesra Sdn Bhd, Wan Azlan Ab Rahman.