FELDA di Johor Dilengkapi ‘Digital Super Highway’

FELDA di Johor Dilengkapi ‘Digital Super Highway’

MUAR, 09 FEB – Kerajaan Johor melalui Digital Johor, akan membantu merealisasikan usaha membawa kepantasan jalur lebar ke seluruh kawasan FELDA di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pihaknya akan memastikan tiada kawasan FELDA di negeri ini tersasar daripada ‘digital super highway’ Johor supaya warganya mempunyai keterhubungan abad ke-21.

Katanya, langkah itu modal terpenting untuk kemandirian dan kemajuan FELDA serta lingkungannya.

“Pada masa sama, generasi kedua, ketiga dan penerus FELDA mesti menggunakan modal baru kelangsungan mereka. Modal dimaksudkan itu ialah ilmu dan kemahiran abad ke-21,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat Pagoh yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Padang Awam FELDA Maokil di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, pada masa sama, kerajaan akan membantu melatih ribuan generasi ketiga dan keempat FELDA menguasai kemahiran bersifat sezaman.

Beliau berkata, pihaknya mahu bekerjasama dengan Kerajaan Pusat untuk melahirkan 5,000 ‘millineal’ (orang muda) FELDA dalam bidang pertanian moden dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Kita mahu mereka menjadi usahawan tani yang mengusahakan pertanian dengan semakin baik dan berteknologi.

“Kita percaya bahawa generasi pewaris FELDA mesti meneruskan tradisi berbakti pada tanah tetapi perlu diupayakan dengan kemahiran baharu dan teknologi,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.5 juta khusus bagi melatih dan memberi kemahiran kepada anak muda FELDA melalui Tabung Latihan Kemahiran Johor atau bawah Yayasan Pelajaran Johor (YPJ).

Malah bagi mengganda dan merancakkan lagi usaha itu, katanya, beliau turut memohon sumbangan serta sokongan Perdana Menteri dan Kerajaan Pusat supaya memperuntukkan RM3 juta bagi tujuan latihan serta kemahiran anak muda FELDA.

Selain itu, Mohamed Khaled berkata, inisiatif pemberian hak milik tanah FELDA adalah suatu yang amat dipandang serius oleh kerajaan negeri.

“Bagi kita, ia bukan sekadar sekeping kertas rasmi tetapi hak milik tanah adalah lambang kerja keras, dedikasi, kesabaran dan pengorbanan semua peneroka.

“Tanah FELDA, bagi kebanyakan peneroka dan keluarga, adalah satu cerita kemasyarakatan yang unik serta tersendiri, dan menjadi bahagian penting dalam perjalanan Johor sebagai sebuah negeri,” katanya.

Justeru sejak memegang tampuk kepemimpinan kerajaan negeri, katanya, beliau memastikan pengeluaran hak milik tanah itu diproses dan diberi perhatian terbaik.

Setakat ini, beliau berkata, 20,000 hak milik tanah peneroka sudah diselesaikan, manakala kira-kira 4,000 belum diluluskan.