Fiesta Bunga dan Orkid 2017 di Pakar Paroi 22-26 Nov

Fiesta Bunga dan Orkid 2017 di Pakar Paroi 22-26 Nov

SEREMBAN, 21 NOV- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan akan menganjurkan Fiesta Bunga dan Orkid 2017 di Pasar Komuniti dan Karavan (Pakar), Paroi dekat sini mulai esok hingga 26 Nov ini.

Timbalan Pengarah FAMA Negeri Mohd Zaidi Ahmad berkata fiesta ini kali kedua diadakan bertujuan menyediakan ruang dan peluang kepada para usahawan dan peniaga dalam sektor florikultur dan nurseri khususnya untuk memasar serta mempromosikan produk mereka kepada pengguna secara langsung.

“Fiesta kali ini menawarkan 600 jenis pokok orkid, pelbagai jenis pokok bunga, tanaman hiasan, anak pokok buah-buahan, herba, pelbagai tanaman makanan, baja dan penggalak tanaman serta benih tanaman. Terdapat 24 lot gerai jualan yang melibatkan 12 usahawan dan syarikat akan menyertai fiesta itu,” katanya di sini, hari ini.

Katanya Unit Urusniaga Florikultur FAMA Negeri Sembilan juga menjual pelbagai anak-anak pokok buah-buahan seperti durian musang king, durian IOI, durian montong, kelapa pandan, nangka madu, mangga pelbagai jenis, durian belanda, pelbagai jenis limau, manggis, rambutan dan banyak lagi.

Katanya gerai jualan lain turut merangkumi jualan hasil segar melibatkan buah-buahan seperti durian (Musang King, IOI, D24 dan Udang Merah), rambutan, nangka madu, nanas serta jagung manis dan sayur-sayuran.