Gelar Nabi Muhammad Panggilan Tidak Wajar Perlu Bertaubat

Gelar Nabi Muhammad Panggilan Tidak Wajar Perlu Bertaubat

IPOH – Perbuatan menggelar Nabi Muhammad SAW dengan sebarang nama panggilan yang tidak sewajarnya adalah haram dan perlu bertaubat, demikian tegas Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria.

Beliau berkata perbuatan tersebut merupakan satu penghinaan terhadap Rasullullah yang merupakan kekasih ALLAH dan sebagai umat Islam perbuatan  tersebut tidak boleh dipandang ringan.

“Jangan  cakap tidak tentu pasal atau berlawak (berkenaan Nabi Muhammad dan agama),” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas tindakan seorang artis lelaki  dalam satu program stesen televisyen swasta yang menggelar Nabi Muhammad SAW sebagai “Che Mat”.

Perbuatan artis itu dalam rakaman program yang tular di media sosial itu  dikecam masyarakat sehingga terdapat pendakwah dan penceramah agama yang menggesa Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil tindakan tegas.

[ARTIKEL BERKAITAN: Iqram Dinzly mohon maaf tersasul sebut ‘Che Mat’]

Sehubungan itu, Harussani berkata JAIP perlu memberi perhatian terhadap perbuatan artis berkenaan yang bermastautin di Perak dengan memanggilnya untuk memberi keterangan.

“Tanggungjawab JAIP panggil individu tersebut supaya (isu ini) tidak berlanjutan,” katanya. – Bernama