Kembar seiras dari Ipoh, Perak itu merupakan antara 219 graduan hadir pada sidang kedua yang berlangsung pukul 2 petang ini.

Mereka mempunyai banyak persamaan termasuk menggemari makanan pedas, subjek yang sama selain suka mengenakan rekaan dan corak pakaian yang sama.

Sharifah Shahira memberitahu, mereka berdua tidak pernah berpisah sejak kecil malah belajar di sekolah dan universiti serta kelas yang sama.

“Kami mempunyai cita-cita yang sama iaitu mahu menjadi seorang pensyarah satu hari nanti. Kami juga gemar mengulang kaji bersama dan saling membantu antara satu sama lain dalam pelajaran,” katanya selepas Majlis Konvokesyen Ke-15 USIM di sini.

Majlis konvokesyen itu dirasmikan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Sharifah Shuhada pula menyifatkan majlis konvokesyen tersebut sebagai hari paling bahagia untuk mereka selepas belajar bersama-sama sejak sekolah rendah, menengah hingga tamat pengajian di universiti.

Pasangan kembar yang merupakan anak ketiga dan keempat daripada empat beradik itu bercadang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana jika mempunyai peluang pada masa akan datang. – UTUSAN