Gunakan Ilmu Untuk Bantu BN

Gunakan Ilmu Untuk Bantu BN

BANDAR JENGKA, 05 APRIL –  Puteri Umno perlu menggunakan segala kemahiran dan ilmu yang dibekalkan kepada mereka untuk menangani hati pengundi semasa berkempen pada PRU14.

Ketua Umno Bahagian Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohd Said berkata, Puteri yang dibekalkan dengan pelbagai ilmu serta kaedah berkempen diyakini boleh membantu parti untuk kemenangan calon bertanding.

“Kita yakin Puteri boleh memainkan peranan kerana kejayaan BN pada PRU lalu dengan  adanya usaha bersepadu dilakukan anggota puteri dengan kerjasama lain lain sayap parti,” katanya.

Menurutnya, Puteri juga perlu proaktif dan berani serta turun padang mendekati rakyat dan mengadakan pelbagai kegiatan dengan memberikan teguran untuk kebaikan.

“Puteri merupakan pendukung barisan kepimpinan yang akan menentukan hala tuju masa depan parti dan negara walaupun kini masih muda.

“Jangan ambil mudah dengan apa yang berlaku sebaliknya perlu turun padang mendekati akar umbi dengan  memberikan penerangan serta penjelasan kepada mereka tentang perjuangan Umno dan kerajaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Jentera Pilihanraya Puteri Umno Bahagian Kuala Krau di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Jengka, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Krau Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad, Adun Jenderak Datuk Seri Mohamed Jaafar dan Adun Jengka Datuk Wan Salman Wan Ismail.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau berkata, menjadi tanggungjawab ahli parti mempertahankan Umno kerana perjuangan Umno masih relevan dan memberikan banyak faedah kepada rakyat.

Beliau turut mengingatkan ahli Umno terutama sayap parti supaya bersatu dan bersedia setiap masa bagi menghadapi pilihan raya umum yang dijangka diadakan pada bila-bila masa sahaja.

“Perkara remeh temeh yang boleh menjejaskan parti perlu kita ketepikan. Kita perlu buat kerja dan menumpukan  bagi kemenangan pada pilihan raya nanti,” katanya. – SINAR HARIAN