Guru Boleh Bawa Peranti ke Sekolah

Guru Boleh Bawa Peranti ke Sekolah

KUALA LUMPUR, 08 FEB – Kementerian Pendidikan menjelaskan, guru dibenarkan untuk membawa telefon bimbit dalam kawasan sekolah.

Timbalan Menterinya, Datuk P Kamalanathan, berkata namun peranti itu tidak sepatutnya digunakan untuk urusan persendirian kerana boleh mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran dengan murid.

Beliau berkata, guru boleh menggunakan peranti mereka sebagai satu bahan dalam sesi pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc), yang dapat membantu dari segi pendidikan abad ke-21.

“Persekitaran hari ini memerlukan integrasi dengan menghubungkan teknologi yang ada. Guru adalah aset paling penting dalam sistem pendidikan dan saya sedar ramai guru kita mengoptimumkan sumber teknologi yang mereka ada untuk memperkayakan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

“Malah, saya sendiri tahu ramai guru yang menggunakan peranti seperti telefon bimbit, tablet, komputer persendirian dan data telefon mereka untuk menjalankan PdPc.

“Saya dan Kementerian Pendidikan sentiasa menghargai pengorbanan guru. Terima kasih,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. -BH