Guru Ingin Terlibat Politik Perlu Kelulusan Ketua Jabatan – Mahdzir

Guru Ingin Terlibat Politik Perlu Kelulusan Ketua Jabatan – Mahdzir

ALOR SETAR, 08 OKT – Guru-guru yang terlibat secara langsung dalam politik perlu mendapat kelulusan daripada ketua jabatan terlebih dahulu, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, pihaknya tidak menghalang guru-guru yang ingin menyertai mana-mana parti politik bagaimanapun mereka perlu mematuhi pekeliling yang telah digariskan oleh pihak kementerian.

“Kalau ikut pekeliling, guru atau Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41 hingga DG48 boleh menyertai politik manakala bagi Gred 52 ke atas, perlu mendapat persetujuan daripada ketua jabatan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Persidangan Perwakilan Tritahunan Koperasi Guru-Guru Melayu Malaysia Barat Berhad (KGMMB) di sini, hari ini yang turut dihadiri Presiden KGMMB, Datuk Mohamed Sabri dan Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Datuk Azuyah Hassan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang tindakan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menggesa para guru menyertai UMNO dalam satu pertandingan di sekolah di Putrajaya Selasa lepas. – Bernama