Hampir Lima Juta Pelajar Mulakan Sesi Persekolahan 2018

Hampir Lima Juta Pelajar Mulakan Sesi Persekolahan 2018

KUALA LUMPUR, 11 JAN – Seramai 4.65 juta pelajar sekolah rendah dan menengah mendaftar pada sesi persekolahan 2018 di 10,200 buah sekolah seluruh negara, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Beliau berkata daripada jumlah direkodkan sehingga 8 Jan lalu itu, 2.66 juta adalah murid sekolah rendah manakala 1.99 juta merupakan pelajar sekolah menengah, tidak termasuk pelajar Tingkatan Enam Rendah.

Justeru, beliau berkata kerajaan komited melengkapkan kemudahan prasarana asas terutamanya di sekolah-sekolah daif dengan peruntukan RM2.5 bilion yang diumumkan menerusi Bajet 2018.

“Daripada jumlah itu, RM1 bilion diperuntukkan untuk pembaikan sekolah daif di Sarawak, RM1 bilion (Sabah) manakala RM500 juta (Semenanjung),” katanya pada program Dialog Temubual Khas Bersama Menteri Pendidikan yang disiarkan di saluran TV1, Rabu malam.

Dalam program satu jam itu, Mahdzir berkata kerajaan menyasarkan penyertaan prasekolah dalam kalangan kanak-kanak berusia empat dan lima tahun ke atas meningkat, masing-masing kepada 80 dan 94 peratus tahun ini.