Hasrat Memukat Berakhir Dengan Tragedi

BUTTERWORTH, 12 OKT. – Hasrat seorang lelaki untuk menahan pukat berakhir tragedi apabila ditemui lemas tidak jauh daripada lokasi memukat dalam kejadian di Sungai Bumbung Lima, Kepala Batas malam tadi.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Jaafar Ahmad berumur lingkungan 65 tahun.

Menurut sumber, mangsa dipercayai keluar untuk memukat kira-kira jam 2 petang.

“Mangsa bagaimanapun tidak pulang selepas beberapa jam kemudian menyebabkan ahli keluarganya bimbang.

Dalam pada itu, Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohamad Hafiz Ismail berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 8.14 malam.

“Sepasukan anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kepala Batas dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira jam 8.27 malam.

“Pihak Bomba menjalankan kerja-kerja water surfing dilokasi yang dimaklumkan orang awam dan kawasan sekitar,” katanya.

Katanya, bomba kemudian mengubah lokasi carian ke kawasan berhampiran jambatan di sungai tersebut.

“Pencarian selama beberapa minit itu akhirnya menemui mayat mangsa yang berada di bawah jambatan,” katanya.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis bagi  tindakan selanjutnya.

“Operasi ditamatkan kira-kira jam pada jam 9.46 malam,” katanya.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk dibedah siasat.- Sinar