Hilang empat pemain penting

Hilang empat pemain penting

KUALA LUMPUR – Pendahulu Liga Super, Selangor terpaksa membayar harga yang mahal selepas meraih kemenangan sulung musim ini susulan kecederaan yang melanda empat tonggaknya pada aksi pembukaan, kelmarin.

Perkembangan itu disahkan pengendali skuad The Red Giants, P Maniam yang mengakui empat pemain iaitu Alfonso de la Cruz, Ilham Udin Armaiyn, Azamuddin Akil serta Rufino Segovia berdepan masalah kecederaan dengan berkemungkinan besar ada antara mereka yang perlu diketepikan untuk aksi kedua bertemu Melaka, esok.

“Empat pemain ini adalah tonggak penting buat pasukan namun kecederaan yang dialami menyebabkan mereka terpaksa dikeluarkan dan digantikan dengan pemain lain pada aksi malam ini (kelmarin).

“Apapun, kita akan adakan pemeriksaan terlebih dulu sebelum membuat keputusan lanjut mengenai keadaan mereka. Namun, berdasarkan pemerhatian awal, Rufino dan Ilham hanya mengalami kecederaan ringan yang tidak begitu serius.

“Jadi, saya mengharapkan mereka dapat segera pulih dan bersedia sepenuhnya untuk aksi kedua nanti,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Cheras itu, Selangor menyingkap tirai Liga Super musim ini dengan langkah kanan selepas menewaskan seteru tradisi, Kuala Lumpur 2-0 dengan kedua-dua gol disumbangkan Rufino.

Mengulas lanjut prestasi anak buahnya pada perlawanan berkenaan, bekas jurulatih Air Asia FC itu nyata berpuas hati apabila kombinasi yang diterapkan berjalan lancar, namun mengingatkan anak buahnya supaya meningkatkan persembahan untuk perlawanan akan datang.

Dalam masa sama, Maniam turut mengakui anak buahnya belum cukup konsisten pada aksi terbabit khususnya pada babak kedua apabila gagal mendominasi perlawanan dalam usaha mereka memburu gol tambahan.

“Separuh masa pertama berlangsung dengan baik, tetapi kami tidak dapat menguasai perlawanan pada babak kedua apabila Kuala Lumpur mula mengetatkan asakan dan tidak memberi sebarang ruang kepada kami.

“Kita juga kurang bertahan di bahagian tengah namun perkara positif yang dapat saya saksikan adalah kami begitu berbahaya apabila melancarkan serangan balas pantas,” katanya.

Sumber – Harian Metro