Ibu tunggal rugi RM90,000

Ibu tunggal rugi RM90,000

BEMBAN – Impian seorang ibu tunggal untuk memiliki rumah idamannya tidak kesampaian apabila dia didakwa ditipu sindiket penipuan telekomunikasi atau Macau Scam.

Mangsa yang dikenali sebagai, Siu Lin, 31, berkata, akibat penipuan itu dia berputih mata kerana terpaksa menanggung kerugian sejumlah RM90,000.

Menurutnya, pada 21 Januari lalu dia dihubungi sindiket yang mendakwa mereka daripada pihak perbankan dan pegawai polis yang kononnya mahu membantu menyelesaikan masalah pinjaman yang tidak pernah dipohonnya.

“Kerana takut dikenakan tindakan waran tangkap, perintah pembekuan aset dan dipenjarakan jika tidak memberi kerjasama, saya bertindak mengikut arahan mereka.

“Malah saya memasukkan wang berjumlah RM441,000 ke dalam akaun bank yang baru dibuka seperti diminta pihak sindiket terbabit,” katanya.

Tambah Siu Lin, bagaimanapun pada 23 Januari, saya dihubungi pihak bank yang memaklumkan bahawa sejumlah RM90,000 dikeluarkan daripada akaun saya.

“Menyedari ditipu, saya  meminta pihak bank menyekat akaun tersebut dan terus membuat laporan di Balai Polis Bandar Hilir,” katanya ketika bertemu Adun Bemban, Datuk Ng Choon Koon bagi membantunya menyelesaikan masalah tersebut.

Jelasnya, lebih malang apabila kesan kejadian itu menyebabkan dia tidak dapat mengeluarkan baki wang di bank tersebut.

“Selepas meminta pihak bank membuka semula sekatan akaun, segala urusan pengeluaran tidak dapat dilakukan.

“Saya juga tidak dibenarkan menutup akaun di bank tersebut sedangkan saya sangat memerlukan wang untuk menyara kehidupan dan anak yang baru berusia tiga tahun,” katanya.

Siu Lin juga berharap, pihak berkuasa dapat menangkap penjenayah tersebut secepat mungkin supaya kesnya dapat diselesaikan segera.

“Wang ini juga digunakan untuk membeli rumah. Jika pihak bank tidak memberikan kerjasama, impian saya akan musnah,” katanya.

Sementara, Choon Koon berkata, pihaknya meminta Siu Lin bersabar dan menyerahkan kes tersebut kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Saya berharap pihak polis dapat mengambil tindakan segera memberkas penjenayah terbabit kerana mangsa sangat memerlukan wang tersebut untuk menyara keluarga.

“Selain itu, saya akan mengemukakan rayuan kepada pegawai yang mengendalikan kes ini supaya dapat membantu mangsa,” katanya.

Choon Koon turut menasihatkan orang ramai supaya tidak sesekali mempercayai panggilan daripada mana-mana pihak sebelum mendapatkan pengesahan sepatutnya.

“Jangan hubungi semula nombor telefon yang diterima, sebaliknya dapatkan nombor telefon rasmi syarikat, organisasi atau institusi terbabit untuk pengesahan lanjut.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak mendedahkan nombor akaun bank, nombor kad pengeluaran wang automatik (ATM) atau kad kredit kepada orang tidak dikenali dan melayari portal rasmi Bank Negara Malaysia bagi mendapatkan maklumat dan nasihat terkini berhubung penipuan kewangan,” katanya.