Jadikan Malaysia Juara Kesederhanaan

Jadikan Malaysia Juara Kesederhanaan

PUTRAJAYA, 10 OKT – Usaha negara untuk mengemukakan inisiatif Gerakan Kesederhanaan Global ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan melon­jakkan imej Malaysia sebagai juara pendekatan kesederhanaan.

Menerusi langkah itu, Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF), Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa berkata, Malaysia akan dapat memainkan peranan secara signifikan dalam isu seperti ekstremisme dan radikalisasi.

“Kita telah mengatur beberapa siri program yang idea utamanya adalah sebagai jawapan kepada permasalahan semasa yang dihadapi dunia dalam soal ekstremisme dan keganasan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan syarahan umum Gerakan Kesederhanaan Global: Membina Jambatan dan Menghapuskan Halangan Menerusi Kesederhanaan di Wisma Putra, di sini hari ini.

Nasharudin mengulas kenyata­an Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman baru-baru ini bahawa Malaysia berusaha untuk mengemukakan inisiatif tersebut melalui satu resolusi bagi menangkis penyebaran fahaman ekstremisme dan radikalisasi.

Ketika menyampaikan ucapan pada Sesi Ke-72 Perhimpunan Agung PBB (UNGA) di New York, Amerika Syarikat (AS), Anifah berkata, Malaysia mengulangi seruannya bagi GMM untuk membendung api kebencian dan pengaruh ekstremisme dan idea-idea tidak bertoleransi, xenofobia dan kebencian kaum.

Inisiatif itu dijangka dikemukakan pada bulan depan.