Jangan Percaya Taktik Media Pembangkang Guna Fakta Bank Dunia

Jangan Percaya Taktik Media Pembangkang Guna Fakta Bank Dunia

KUALA LUMPUR – Parti pembangkang dan media yang menyokong mereka meneruskan kempen mensabotaj ekonomi negara dengan menyebarkan pembohongan menggunakan laporan mutakhir Bank Dunia mengenai Asia Timur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, parti pembangkang menyebarkan pembohongan itu demi kepentingan politik semata-mata.

Katanya, sepatutnya mereka perlu berasa malu kerana tindakan itu memalukan negara dan rakyat Malaysia dengan berita palsu yang jelas tidak seiring dengan apa yang diperakui institusi global itu mengenai Malaysia.

“Mereka (pembangkang dan proksi media) mengetahui Kerajaan ini mempunyai pelan ekonomi dan perancangan itu telah dan akan terus dilaksanakan demi manfaat rakyat Malaysia.

“Ini adalah pencapaian sebenar Kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Semua rakyat Malaysia sepatutnya berbangga dengan rekod pencapaian ekonomi negara (berdasarkan laporan Bank Dunia),” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini.

Tambah Rahman yang juga merupakan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, media pembangkang juga menggunakan laporan Bank Dunia secara ‘terpilih’ dan tidak menggunakan secara keseluruhannya.

“Sesiapa saja yang berkata demikian patut membaca keseluruhan laporan itu. Walaupun ia ada menyentuh aspek bahaya risiko dalaman, laporan itu turut memuji pencapaian semasa Malaysia,” demikian menurut kenyataan itu.

Malah ujar beliau lagi, rakyat perlu tahu kesimpulan sebenar yang dibuat Bank Dunia terhadap ekonomi Malaysia sebenarnya adalah seperti berikut.

“Pertumbuhan KDNK di Malaysia berlaku pantas ketika separuh pertama 2017 kepada 5.7 peratus (perbandingan tahun ke tahun), disokong oleh permintaan domestik dan luaran yang kukuh.

“Hasilnya, ekonomi Malaysia diunjur berkembang dengan kadar 5.2 peratus pada 2017. Prospeknya kekal positif, sejajar keadaan ekonomi Malaysia terus menikmati pertumbuhan memberangsangkan yang merentasi pelbagai sektor secara meluas.

“Ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan semasa pada 2018 dan 2019, walaupun pada kadar lebih sederhana di sebalik unjuran pertumbuhan penggunaan modal yang lebih rendah,” kata beliau.