Jumlah Mangsa Banjir di Terengganu Catat Penurunan

Jumlah Mangsa Banjir di Terengganu Catat Penurunan

KUALA TERENGGANU, 04 DIS – Situasi banjir di Terengganu semakin pulih dengan penurunan sedikit jumlah mangsa iaitu 805 orang daripada 188 keluarga setakat 8 pagi tadi berbanding 878 orang daripada 202 keluarga malam semalam.

Mengikut laporan portal Info Banjir, pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi kekal tujuh di empat daerah ketika ini.

Kuala Nerus masih merekodkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 701 orang (162 keluarga) dengan mangsa paling ramai ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak iaitu 658 orang diikuti SK Tok Jiring (22) dan SK Bukit Nenas (21).

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata penurunan jumlah mangsa banjir dijangka terus berlaku berikutan cuaca baik dijangka sepanjang hari.

“Di Marang pula, jumlah mangsa banjir menurun kepada 39 orang (11 keluarga) yang ditempatkan di dua PPS iaitu SK Bukit Gasing dan SK Pasir Putih manakala Dungun tidak berubah iaitu 33 orang (lapan keluarga) yang berada di Dewan Sivik Paka,” katanya.

Beliau berkata daerah Setiu, jumlah mangsa kekal 32 orang (tujuh keluarga) yang ditempatkan di Surau Kampung Nyatoh.

Beliau berkata pihaknya menjangka sebahagian besar mangsa banjir akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing menjelang tengah hari dan petang ini. – BERNAMA