Kena Tegas, Saman Saja!

Kena Tegas, Saman Saja!

REMBAU – Penduduk memohon pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan tegas berbentuk saman ke atas individu yang sesuka hati meletakkan kenderaan berat di kawasan perumahan.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sedia Raja, Amir Uyup berkata, jalan di taman berkenaan diturap kira-kira seminggu lalu, susulan kemudahan jalan sedia ada rosak dan menimbulkan masalah kepada penduduk.

“Antara faktor penyebab beberapa jalan di taman perumahan ini rosak adalah disebabkan kedegilan beberapa individu yang parkir kenderaan berat seperti lori kontena.

“Ini yang jadi masalah, penduduk lain rasa tak selesa dan mengadukan masalah ini kepada saya. Masalah ini sebenarnya sudah lama dan kita harap Majlis Daerah Rembau (MDR) dapat ambil tindakan tegas,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, PBT juga boleh mengambil tindakan memasang besi pengadang untuk mengelak individu tidak bertanggungjawab terus meletakkan kenderaan berat di Taman Sedia Raja.

“Sama ada clamp tayar atau saman individu tidak bertanggungjawab ini dan bagi penyelesaian jangka masa panjang saya cadangkan PBT sediakan parkir khas untuk kenderaan berat.

Sementara itu, Yang Dipertua MDR, Amino Agos Suyub gagal dihubungi  untuk mendapatkan maklum balas berhubung masalah berkenaan. – SINAR HARIAN