Kerajaan Negeri Sasar N.Sembilan Lembah Pengeluar Udang Galah

Kerajaan Negeri Sasar N.Sembilan Lembah Pengeluar Udang Galah

JELEBU, 22 MAC – Kerajaan Negeri mensasarkan Negeri Sembilan sebagai lembah pengeluar udang galah termasuk benihnya di masa akan datang.

Demikian dinyatakan Menteri Besar ketika mengadakan Lawatan Kerja ke Bahagian Penyelidikan Perikanan Air Tawar di Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Glami Lemi, Titi, Jelebu, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, hasrat tersebut dapat direalisasikan apabila Kerajaan Negeri mengadakan perbincangan dengan FRI Glami Lemi untuk merangka modul perniagaan udang galah tersebut.

“Saya tertarik dengan cadangan menjadikan negeri ini sebagai lembah udang galah dan dibantu FRI Glami Lemi sebagai pemudah cara kerana agensi berkenaan menjalankan penyelidikan secara aplikasi, bukan sekadar akademik dan data sahaja.

“Selain penternakan udang galah, kita boleh membuat ternakan air tawar lain termasuk ikan hiasan. Industri berkenaan begitu besar dan kita perlu merebut peluang perniagaan ini kerana sudah ada pusat penyelidikan bagi membantu pengusaha-pengusaha yang berminat,” katanya.

Tambahnya lagi, FRI Glami Lemi penting untuk menjadikan negeri ini sebagai lembah udang galah dan ikan air tawar dengan memastikan supaya baka yang dihasilkan bebas penyakit dan mempunyai tahap kelangsungan hidup tinggi.

“Cadangan ini akan diperhalusi dan kita akan duduk bersama dengan pegawai dari Jabatan Perikanan Malaysia dan FRI Glami Lemi untuk melihat cara bagaimana perniagaan ini dijalankan.

“Kerajaan Negeri tidak boleh menjalankan perniagaan ini tetapi akan membantu pengusaha yang sedia ada daripada segi fasiliti dan penyelidikan,” ujarnya.

Terdahulu, Menteri Besar turut melakukan lawatan ke Kolej Komuniti Jelebu untuk melihat rumah pintar (My Komuniti Smart Home) berharga antara RM40-RM45 ribu menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) iaitu bata ‘interlocking’ oleh pelajar yang menjalani latihan Teknologi Pembinaan di kolej berkenaan.

Pada sebelah petang, Menteri Besar turut bersama rakyat dengan bersiar santai di Program Merakyatkan Perkhidmatan Awam dan Karnival Usahawan @ Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang di Dataran Klawang, Jelebu.