Menurut Affin Hwang Capital Research, yuran Rakan Pelaksana Projek (PDP) bagi MRT1, MRT2 dan LRT3 adalah sebanyak enam peratus daripada kos projek.

“Berdasarkan usahasama (JV) Gamuda dan MRCB iaitu 50:50, kedua-dua syarikat berpotensi meningkatkan jumlah pendapatan masing-masing sebanyak 21 hingga 24 peratus dan 63 hingga 72 peratus pada tahun kewangan 2019 sekiranya berjaya mendapatkan projek itu.

“Dengan anggaran pegangan IJM Corp dan anak syarikat Sunway Construction Group Bhd. (SunCon), di dalam yuran PDP kedua-duanya 33 peratus, potensi peningkatan pendapatan JV itu jika memenangi kontrak adalah 25 hingga 29 peratus bagi IJM Corp (tahun kewangan 2020) dan 100 hingga 114 peratus bagi SunCon (tahun kewangan 2019),” jelasya dalam kenyataan di sini hari ini.

HSR sepanjang 350 kilometer bermatlamat mengurangkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada 90 minit dan merangsang ekonomi di beberapa kawasan di sepanjang laluan apabila projek itu memulakan operasi pada 2026.

Pada 20 Disember lalu, MyHSR Corp. dan SG HSR Private Ltd. (SG HSR) mengumumkan me­mulakan bidaan bagi tender Assets Company (AssetCo) yang akan bertanggungjawab untuk mereka bentuk, membina, membiayai dan menyelenggara projek berkenaan.

Menurut MyHSR Corp., apabila tender AssetsCo dianugerahkan, ia akan menyaksikan lebih banyak peluang diwujudkan untuk syarikat tempatan sekali gus membolehkan mereka membina kepakaran dan kapasiti sedia ada serta menyediakan peluang lebih luas kepada penyertaan syarikat tempatan.

Dalam pada itu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani terdahulu dilapor­kan berkata, projek itu yang mempunyai lapan stesen akan mene­lan belanja kira-kira RM50 hingga RM60 bilion.