Keselamatan Jadi Keutamaan

Keselamatan Jadi Keutamaan

SEREMBAN, 13 FEB – Peruntukan lebih RM877,000 dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri untuk kerja-kerja pemasangan lampu isyarat di dua persimpangan iaitu Taman Zaitun dan Kampung Ismail serta Ujong Pasir dan Jalan Jelebu di sini.

Pengarah JKR negeri, Datuk Abdul Karim Mohd. Tahir berkata, pihaknya berjaya menyiapkan projek tersebut dalam masa dua bulan lebih awal berbanding jangkaan tempoh pembinaan selama empat bulan.

“Pemilihan dua lokasi persimpangan ini dibuat selepas mengambil kira kes kemalangan yang kerap berlaku di kawasan ini,” katanya dalam sidang akhbar perasmian lampu isyarat itu semalam.

Perasmian disempurnakan Pe­ngerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Ne-geri, Datuk Abu Ubaidah Redza.

Menurut Abdul Karim, JKR akan mengutamakan lokasi yang kerap berlaku kemalangan untuk pemasangan lampu isyarat bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

“Untuk meluluskan pemasangannya, kami akan buat siasatan terlebih dahulu di setiap lokasi bagi mengenal pasti kriteria dan keperluan pemasangan lampu isyarat di kawasan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Abu Ubaidah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Ampangan berkata, pemasangan lampu isyarat di dua persimpangan itu melegakan hati penduduk di kawasan ini.

“Ini menunjukkan bahawa soal keselamatan pengguna jalan sentiasa diberi keutamaan,” katanya.